KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sehingga kini tidak dapat menghubungi individu yang menggelar dirinya sebagai Imam Mahdi di laman media sosial.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya meminta bantuan polis untuk mengesan individu tersebut.
“Saya tak tahu dia ni betul-betul Imam Mahdi jenis boleh nyorok-nyorok, ghaib macam sekarang sesuai sangat dengan Imam Mahdi tu.
“Setakat ini tidak jumpa lagi. Kita bekerjasama dengan pihak polis, untuk mencari individu tersebut. Keluarganya pun tidak dapat dihubungi,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Transformasi dan Perubahan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di sini, hari ini.
Katanya, pertemuan berkenaan adalah untuk menyampaikan dakwah dan penjelasan kepada individu berkenaan.
“Kita nak berbincang sebab biasalah manusia ini buat silap jadi sebab itu saya arahkan Jakim untuk mengambil pendekatan menghubungi individu tersebut dan Jakim akan berikan penjelasan.
“Itu dakwah penting Jakim kena jalankan. Tapi kita huhungi tidak dapat jadi kita terpaksa guna langkah kedua memohon bantuan polis,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular di laman media sosial tangkapan layar pengguna Facebook yang dikenali sebagai Khairul Adha yang mendakwa dia sebagai Imam Mahdi yang dilantik oleh Allah SWT.
Status yang dimuat naik pada 22 November itu mendapat kecaman pengguna media sosial.
Susulan itu, Mohd Na’im dilaporkan telah mengarahkan Jakim memanggil individu tersebut untuk menasihatinya. -MalaysiaGazette