Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas pada Majlis Pelupusan Barang Kes Jenayah dan Narkotik di IPD Subang Jaya. Foto NUR SYADILA AMARI, 06 DISEMBER 2023.

SUBANG JAYA – Polis hari ini melupuskan barang kes siasatan jenayah bernilai RM1.24 juta, membabitkan kes mesin judi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kesemua barang kes yang dilupuskan itu membabitkan 179 kertas siasatan yang mana 160 daripadanya membabitkan barangan yang dikaitkan dengan mesin judi.

“Kesemua barang kes ini dilupuskan selepas menerima arahan mahkamah dan diikuti kaedah dan peraturan di bawah Seksyen 406A dan 407A Kanun Keseksaan barang berkaitan pelbagai jenis kes jenayah.

“Kesemua barang ini hanya dihapuskan selepas kes dibicarakan dan diambil tindakan ke atas pesalah oleh mahkamah,” katanya pada sidang media, hari ini.

Tambah beliau, barang yang dilupuskan melibatkan 1,078 set komputer meja, komputer riba dan telefon bimbit berjumlah RM 744,600 serta  wang tunai berjumlah RM27,807.

Meneurut Wan Azlan, selain itu barang kontraban tidak bercukai iaitu arak dan rokok membabitkan 1,479 botol dan 1,863 karton rokok pelbagai jenama bernilai  RM418,000 turut dilupuskan.

“Barang kes Op Elektrik (bitcoin) melibatkan sejumlah 113 buah mesin bitcoin dengan jumlah nilaian rampasan sebanyak RM 51,000 (juga dilupuskan)

“Hasil pemeriksaan jumlah nilaian keseluruhan pelupusan barang kes ini adalah dianggarkan lebih kurang RM 1,241407. Kesemua barang kes akan dilupuskan dengan cara musnah melalui kaedah e-waste dan jualan sisa besi dan pepejal,” ujarnya. – MalaysiaGazette