Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

IPOH – Helah dua lelaki memperdaya polis dengan memakai baju berlogo Telekom Malaysia (TM) untuk mencuri kad sistem milik TM gagal apabila mereka yang sedang melakukan kegiatan itu, berhampiran stesen minyak di Slim River dekat Tanjung Malim, semalam diberkas.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata semasa anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Slim River melakukan tugas rondaan cegah jenayah di sekitar pekan Slim River pada 11 pagi semalam, ternampak kedua-dua suspek sedang membuka kabinet kad sistem.

“Apabila pihak polis cuba menghampiri, kedua-dua suspek terus melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Honda Accord yang didapati menggunakan plat pendaftaran palsu.

“Pihak polis terus bertindak mengejar kereta tersebut dan berjaya menahan suspek di tepi Jalan Ibrahim Mohd Dom,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dalam kereta yang dinaiki suspek menemukan 21 unit kad sistem TM pelbagai jenis dan peralatan  yang digunakan untuk mengumpil kabinet kad sistem TM serta merampas dua helai baju berlogo TM dan topi keselamatan yang dipakai kedua-dua suspek.

Mohd Hasni berkata, hasil soal siasat dijalankan, kedua-dua suspek berumur 37 dan 42 tahun berasal dari Shah Alam dan Petaling Jaya.

Seorang daripada suspek pernah ditangkap sebelum ini di Klang dan telah dituduh di Mahkamah Majistret Tanjung Malim pada Ogos lepas.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek,  polis berjaya menyelesaikan sembilan kes kecurian kad sistem TM dalam daerah Muallim melibatkan kerugian RM350,530,” katanya.

Mohd Hasni berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA