Penggunaan ventilator kritikal semasa negara di landa pandemik Covid-19. Gambar arkib MalaysiaGazette

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab membeli ventilator rosak yang diperoleh Kementerian Kesihatan (KKM) semasa pandemik Covid-19.

Ia susulan Laporan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) mengenai sebanyak 104 daripada 136 ventilator yang dibeli tidak boleh digunakan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader mendakwa, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) gagal menjalankan tugas bagi mendedahkan mereka yang bertanggungjawab dalam pembelian ventilator tersebut dengan alasan ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan syarikat  terbabit.

Mohideen Abdul Kader

Menurut beliau, jawapan tiada kontrak bertulis rasmi yang yang dijelaskan oleh PAC tidak boleh diterima.

“Sudah tentu terdapat bukti dokumentari dan lisan mengenai proses pembelian ventilator rosak yang akan mendedahkan jika terdapat sebarang kecuaian teruk atau rasuah di pihak terbabit dalam membuat keputusan.

“PAC sepatutnya mengesyorkan supaya agensi penguatkuasaan undang-undang menyiasat kes itu dan mengambil tindakan wajar terhadap mereka yang bersalah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohideen, peralatan menyelamatkan nyawa seperti ventilator penting semasa pandemik Covid-19 dan amat mengejutkan kecuaian sedemikian berlaku kerana ventilator yang rosak itu bukan sahaja membazirkan dana awam tetapi membahayakan nyawa pesakit.

Laporan PAC mengatakan budaya akauntabiliti hampir tidak wujud dalam sistem perolehan awam apabila sebanyak 104 daripada 136 ventilator yang ditempah tidak dapat digunakan.

Malah urus niaga mengenai perolehan kecemasan ventilator dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Walaupun dalam menghadapi pandemik, pengesahan perolehan rasmi perlu menerusi kontrak pembekalan yang betul dengan spesifikasi produk jelas, jaminan, kewajipan pembekal terhadap ujian dan pentauliahan, penghantaran dan sokongan teknikal, malah perolehan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan pihak kementerian.

“Syarikat itu diarah membuat bayaran pendahuluan bagi ventilator berikutan hubungan sedia ada dengan KKM diperoleh berdasarkan gambaran visual bahawa ventilator dalam risalah itu memenuhi keperluan KKM serta tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan.

“Malah mengikut laporan PAC, ventilator itu tidak boleh digunakan kerana titik palam berbeza daripada titik palam yang digunakan di Malaysia bagaimanapun, setiap ventilator mempunyai masalah berbeza daripada segi perkakasan, aksesori dan perisian,” katanya.

Menurut beliau, pendedahan ini juga sungguh mengejutkan apabila KKM melantik syarikat menjadi orang tengah bagi membekalkan 136 ventilator berharga RM24.1 juta tanpa kontrak yang sewajarnya.

“Apa yang berlaku kepada unit integriti dan pematuhan dalam KKM yang diperlukan bagi mengawasi semua pembelian, apabila prosedur yang ditetapkan tidak dipatuhi dalam pembelian ventilator?

“CAP percaya lebih banyak perkara perlu dilakukan bagi menuntut akauntabiliti daripada mereka yang bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam tugas mereka.

“Pihak bertanggungjawab atas ‘kecuaian yang jelas’ dalam skandal ventilator seperti didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara mestilah dikenal pasti dan dihukum,” katanya.

Media semalam melaporkan, semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada 2020, Kabinet dimaklumkan mengenai keperluan bagi 800 ventilator dan berikutan itu, KKM meluluskan sebanyak RM30 juta kepada sebuah syarikat untuk membeli 500 unit ventilator.

Disebabkan kekangan bekalan, syarikat itu berjaya memperoleh hanya 136 unit ventilator pada harga RM20.12 juta iaitu harga yang dilaporkan empat kali lebih tinggi daripada kadar biasa.

Bagaimanapun didapati sebanyak 104 daripada 136 ventilator yang dibeli tidak boleh digunakan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. PAC (Mas Emiriaty) dari kerajaan yg memerintah dahulu era PN (2020 -2022)..Adakah dia telus untuk dakwa kepincangan berlaku semasa era Bos2 dia memerintah?
    PAC ni sekadar bagi nampak indah,tapi tak ada apa pon,..
    Adakah SPRM/Jabatan Audit dan Jabatan Penilai di nafikan fungsi oleh orang2 politik?

Comments are closed.