Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri telah menyalurkan hampir RM74 juta bagi mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi rakyat di seluruh negeri tahun ini.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ia membabitkan pelaksanaan sebanyak 17 projek bekalan air antaranya di Lipis, Bentong, Temerloh, Raub dan Kuantan.

“Berdasarkan rekod, Fasa 1 bagi tempoh 2021 hingga 2026 Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Pahang melibatkan 217 projek yang disenarai.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 93 projek telah siap, 37 projek dalam pembinaan dan 87 projek dalam fasa pembinaan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Beserah, Andansura Rabu dalam sesi soal jawab lisan hari ini.

Tambah Wan Rosdy, kerajaan negeri mensasarkan perkembangan sehingga 90 peratus daripada keseluruhan projek tersebut selesai menjelang 2026.

Sementara itu, ditanya mengenai jangkaan selesai projek pembinaan tangki sedutan dan rumah pam di Taman Batu Hitam, beliau berkata, ia masih di peringkat lantikan perunding yang akan dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Jelasnya, projek yang dijangka bermula pertengahan tahun 2024 itu bakal siap pada akhir tahun 2025 dan melibatkan kos sebanyak RM17.8 juta.

Pelaksanaannya dijangka memberi manfaat kepada 3,900 akaun pengguna di kawasan Kampung Darat Sekolah, Kampung Jeram, Kampung Bukit Gelugor dan Taman Batu Hitam. – MalaysiaGazette