Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi sekumpulan lelaki bergaduh dengan seorang lelaki di tepi jalan berhampiran PPR Jalan Sungai, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis menahan lima lelaki yang terlibat dalam satu rusuhan di tepi jalan berhampiran Perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini, hari ini.

Rusuhan itu dikatakan tercetus akibat perselisihan faham antara seorang lelaki dengan sekumpulan individu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, polis menerima laporan daripada orang awam berhubung satu pergaduhan pada 2.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

Sebaik tiba, sepasukan polis dari Cawangan D9, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang memegang sepucuk pistol selain berada dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan pada kepala.

Suspek berusia 25 tahun yang mengalami kecederaan pada kepala direman selama empat hari bermula hari ini.

“Susulan itu, pihak polis menahan empat lagi lelaki berusia 24 hingga 34 tahun yang dipercayai terlibat dalam rusuhan itu di lokasi sama.

“Selain itu, polis turut mengejar sebuah kereta yang dipercayai dinaiki suspek yang terlibat dalam pergaduhan sama namun berlaku pelanggaran menyebabkan motosikal dua anggota itu terbalik.

“Kita turut merampas sepucuk pistol dan sebilah senjata tajam yang digunakan dalam rusuhan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Saravanan, lelaki yang cedera itu menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan direman selama empat hari bermula hari ini.

Sebuah kenderaan turut dirosakkan dalam pergaduhan tersebut.

“Empat lagi suspek turut direman selama empat hari sehingga 8 Disember ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” katanya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan