Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim bersama-sama rombongan pelajar sekolah di daerah Semporna.

SEMPORNA – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited menggiatkan pelbagai usaha untuk melindungi penyu, yang merupakan salah satu spesies haiwan marin tergolong dalam spesies terancam.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, UMS sentiasa menyokong sebarang usaha terhadap memupuk kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan alam sekitar, kepelbagaian spesies haiwan serta habitatnya.

Katanya, UMS telah membawa sejumlah 20 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah berserta guru iringan di sekolah sekitar daerah Semporna ke Pulau Bohey Dulang, Semporna bagi program pendidikan berkaitan penyu di pulau tersebut.

“Melihat kepada keindahan khazanah alam yang terdapat di Pulau Bohey Dulang ini, saya percaya pulau ini berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong melalui aktiviti pengembaraan dan pendidikan.

“UMS juga amat gembira dapat membawa sekumpulan pelajar sekolah rendah dan menengah ke pulau ini bagi menambah pengalaman dan pengetahuan mereka berkaitan kepelbagaian biodiversiti khususnya haiwan penyu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam program tersebut, Dr. Kasim turut menyempurnakan perasmian Projek Kelestarian Penyu Dan Edu-Tourism UMS dan Taman-Taman Sabah, serta acara pelepasan anak-anak penyu di laut.

Dr. Kasim berkata, rombongan pelajar diwakili oleh pelajar- pelajar dari SK Bangau-Bangau, SK Kg. Simunul, SMK Kabogan II dan SMK Datuk Panglima Abdullah.

Menurutnya, rombongan pelajar sekolah itu diberikan penerangan ringkas oleh pegawai dari Taman-Taman Sabah mengenai proses kehidupan dari anak penyu hingga menjadi penyu dewasa.

Sesi perkongsian tersebut turut mengupas berkaitan fakta-fakta am berkaitan penyu, serta kepentingan usaha memulihara penyu dan habitat marin yang menjadi tanggungjawab semua pihak.

Naib Canselor UMS juga berpesan kepada para peserta agar terus belajar bersungguh-sungguh dan menanam minat terhadap mata pelajaran berkaitan sains agar mampu menjadi generasi yang meneruskan legasi tanggungjawab terhadap pemuliharaan haiwan dan alam sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast