KUALA LUMPUR – Dijangka 85,000 orang penyokong akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada esok bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di antara Johor Darul Ta’zim FC menentang Terengganu FC.

Berikutan itu, semua pintu masuk stadium akan mula dibuka pada 6 petang.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, pihak polis telah membuat persiapan rapi melibatkan pelbagai jabatan dan unit.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki perkarangan stadium.

“Pihak polis tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang telah dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium,” katanya menerusi kenyataan.

Antara senarai barang terlarang yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium adalah mercun; bunga api; suar; topi keledar; laser dan sebarang objek tajam (kayu),

“Selain itu tidak dibenarkan dibawwa senjata seperti parang; minuman keras; payung (tongkat); powerbank; pemetik api; botol air; rokok; drone dan pembesar suara,” ujarnya.

Sementara itu, Zam Halim menasihatkan para penyokong menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Elakkan melalui jalan-jalan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil jika tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak ini dan mematuhi arahan pegawai dan anggota polis yang bertugas,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan supaya penyokong menjaga tatasusila dan adab ketika menyaksikan perlawanan berkenaan.

“Pihak PDRM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan atau individu bertindak mencetuskan kekacauan atau rusuhan di mana boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) atau Seksyen 160 Kanun Keseksaan (Gaduh Gempar),” katanya lagi.

Perlawanan bola sepak itu dijadualkan bermula pada 8 malam esok.-MalaysiaGazette