KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023 gara-gara keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang memuaskan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 malam esok.
PSM dalam satu kenyataan berkata, permohonan maaf turut ditujukan kepada semua para peminat sukan bola sepak negara terutamanya pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) Terengganu FC (TFC) serta semua penyokong kedua-dua pasukan itu.
“PSM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November 2023 yang lalu.
“PSM komited melakukan penambahbaikan mengikut prosedur operasi standard
(SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa hadapan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Tidak sampai 24 jam menjelang final Piala Malaysia esok, isu padang SNBJ terus menjadi bualan peminat bola sepak tempatan.
Situasi itu merosakkan keghairahan banyak pihak terutama pasukan JDT dan TFC yang akan bersaing merebut piala berprestij itu.
Tidak kurang juga keadaan padang berkenaan mencetuskan kerisauan terhadap risiko besar pemain berdepan kecederaan.
Isnin lalu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga penaja rumput baharu jenis Zeon Zoysia di SNBJ memuat naik gambar terkini padang di gelanggang berkenaan yang dilihat masih rosak selepas konsert Coldplay pada bulan lalu. – MalaysiaGazette