KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi akan mula mendengar Petisyen Pilihan Raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia yang bakal berlangsung selama dua minggu bermula Isnin depan.
Barisan Nasional (BN) Selangor telah menghantar petisyen bagi membatalkan keputusan kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas.
Pada PRN Selangor ke-15, kerusi DUN Gombak Setia dimenangi Muhammad Hilman Idham dengan majoriti tipis sebanyak 58 undi mengalahkan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN).
Muhammad Hilman memperoleh 30,299 undi manakala Megat Zulkarnain mendapat 30,241 undi sementara calon bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali dengan 1,076 undi.
Sebelum ini, Pakatan Harapan Selangor yang diterajui pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan walaupun pada awalnya pihaknya juga mahu mengemukakan petisyen terhadap tiga lagi kerusi namun akhirnya hanya kekal untuk DUN Gombak Setia.
Tiga lagi kerusi yang direncanakan untuk dikemukakan petisyen sama sebelum ini iaitu Dengkil, Sungai Kandis dan Taman Medan tidak diteruskan.
Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30). – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: