Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin (tengah) menunjukkan gambar tiga lelaki yang ditangkap cuba mencuri kabel di Felda Chini pada 2 Disember lalu.

PEKAN – Pihak polis giat memburu seorang lelaki dikenali sebagai ‘Bilal’ bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian kabel Telekom di sekitar Pekan dan Kuantan.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, maklumat itu diperoleh selepas tertangkapnya tiga rakan sejenayahnya yang cuba mencuri kabel di kawasan Felda Chini 2, pada 2 Disember lepas.

Ketiga-tiga suspek itu didapati dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan anggota Balai Polis Chini pada pukul 12.50 pagi di kawasan yang sering berlaku kecurian kabel iaitu di tepi jalan simpang masuk ke Perumahan Dara di situ.

“Ketiga-tiga lelaki ini menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton menuju ke mainhole laluan kabel bawah tanah di tepi jalan tersebut dan cuba membawa keluar kabel yang berada di dalam lubang itu.

“Ketika anggota cuba menahan dan memeriksa ketiga-tiga lelaki ini, mereka telah melarikan diri dengan memecut laju secara merbahaya menghala ke Kampung Pahang Tua,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin,

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini hari ini.

Setiba di jambatan Kampung Pahang Tua, dua buah MPV IPD Pekan telah memintas kenderaan suspek dan mengarahkan mereka berhenti namun suspek bertindak melanggar salah sebuah kenderaan polis selain cuba melanggar anggota polis terbabit.

Pihak polis bagaimanapun berjaya menahan ketiga-tiga suspek berusia 28 hingga 35 tahun itu dan merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel.

Mohd Zaidi berkata, kesemua suspek bergiat aktif mencuri kabel pada waktu tengah malam sejak bulan Mei lalu.

“Dengan tertangkapnya tiga suspek ini, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pekan berjaya menyelesaikan enam kes curi kabel yang dilaporkan di daerah ini dengan kerugian kira-kira RM100,000.

“Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek yang dikenali sebagai ‘Tema’, ‘Man’ dan ‘Joe’ juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan mereka juga mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin (kanan) menunjukkan barang-barang rampasan dalam kes kecurian kabel Telekom

Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit bersalah.

Selain itu, mereka juga boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan jika didapati bersalah.

Kesemua suspek direman sehingga 8 Disember ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast