KUALA LUMPUR – Jenazah kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin berusia enam tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, sebentar tadi.

Terdahulu, jenazah kanak-kanak itu dibawa keluar dari Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada pukul 5.55 petang.

Hujan gerimis mengiringi perjalanan terakhir kanak-kanak berkenaan pada 7 malam tadi.

Kira-kira 100 orang berada di tanah perkuburan itu untuk menyaksikan pengebumian Zayn Rayyan.

Ayah dan ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf turut berada di situ sehingga upacara pengebumian selesai.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang ketika bermain di taman permainan di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, pada Selasa.

Kanak-kanak berkenaan kemudian ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebatang sungai, berhampiran lokasi hilang.

Kemudian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasikan sebagai kes bunuh berdasarkan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak itu yang sepadan dengan perbuatan jenayah.

Katanya, kes bunuh itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis percaya wujud unsur jenayah.

Tengah hari tadi,  Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, berkata polis juga akan merakam keterangan jiran dan saksi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast