LONDON – Karier bintang Juventus, Paul Pogba bakal tamat awal kerana pendakwa raya di Itali dilaporkan mahu menggantung pemain itu sehingga empat tahun susulan gagal ujian doping Ogos lalu, lapor Daily Mail.
Jurucakap Juventus berkata, Romeo Agresti, pendakwa raya mahu Pogba digantung berdasarkan hukuman mandatori di bawah peraturan anti-doping dunia.
Sekiranya menjadi kenyataan, Pogba tidak akan beraksi sehingga usianya mencecah 34 tahun dan mungkin kariernya juga akan berakhir apatah lagi tahap kecergasannya diragui sejak kembali ke Itali.
Pemenang Piala Dunia bersama Itali itu hanya membuat 12 penampilan untuk Juventus musim ini selepas berehat panjang musim lalu akibat kecederaan.
Pogba menyertai Juventus selepas meninggalkan Manchester United pada musim panas lalu.
Dia kini digantung sementara selepas didapati positif bahan terlarang DHEA ketika kemenangan pasukannya ke atas Udinese pada 20 Ogos lalu.
Sampel B Pogba juga didapati positif bahan yang merangsang pengeluaran testosterone, dan kini dia menanti hukuman yang bakal dikenakan ke atasnya. – Agensi