Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur meminta kerjasama orang ramai khususnya para peminat bola sepak agar mematuhi peraturan yang ditetapkan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) FC dan Terengganu FC malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berharap tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sebelum, semasa dan selepas perlawanan itu berlangsung 9 malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

“Kami memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi baik sebelum atau sepanjang perlawanan itu berlangsung serta selepas aksi itu nanti.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama dan sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa di lapangan bagi mengelakkan kesesakan atau sebarang insiden tidak diingini.

“Bagi tujuan itu, seramai 1,400 anggota dan pegawai polis akan terlibat dalam tugas mengawal keselamatan di venue tersebut hari ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa di sini hari ini.

Selain perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan JDT menentang Terengganu FC, turut berlangsung Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang bermula hari ini hingga Ahad depan di perkarangan SNBJ serta Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional berhampiran.

“Bagi memantau suasana agar sentiasa selamat dan menjamin ketenteraman, seramai lebih 100 anggota turut ditempatkan untuk tugas kawalan bagi tujuan tersebut,” katanya lagi. -MalaysiaGazette