Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas Pelancaran Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCAS) sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menawarkan rebat sehingga RM2,400 bagi menggalakan orang ramai beralih kepada motosikal elektrik menerusi Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia selaras dengan perkembangan teknologi semasa dan keperluan dunia untuk segera mengurangkan pelepasan karbon.

Beliau berkata, insentif itu bagi membantu memberi keyakinan dan peluang kepada rakyat untuk merasai teknologi motosikal elektrik sebagai medium pengangkutan harian.

“Inisiatif ini yang dijenamakan sebagai MARiiCas menyediakan rebat sehingga RM2,400, yang mana, ianya dibuka kepada rakyat Malaysia dengan pendapatan tahunan RM120,000 ke bawah.

“Dengan slogan Memacu Kelestarian, inisiatif ini seiring dengan hasrat Kerajaan Madani ke arah mencapai sasaran karbon sifar seawal 2050,” katanya sempena Setahun Bersama Kerajaan Madani di sini hari ini.

Terdahulu Tengku Zafrul merasmikan MARiiCas di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau juga berkata, peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di dalam negara dapat mendorong industri automotif tempatan untuk mempergiatkan aktiviti pembangunan dan pengeluaran EV.

“Inisiatif ini menawarkan bantuan dalam bentuk insentif rebat adalah bagi membantu memberi keyakinan dan peluang kepada rakyat untuk merasai teknologi motosikal elektrik sebagai medium pengangkutan harian,” katanya.

Tambahnya, hasrat kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050 merupakan salah satu misi di bawah New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 iaitu Push for Net Zero telah menggariskan EV sebagai pemacu pertumbuhan utama ekonomi hijau.

“Pelancaran MARiiCas pada hari ini tepat pada masanya dan MITI percaya inisiatif ini berupaya merancakkan penerimaan rakyat untuk beralih daripada penggunaan Internal Combustion Engine (ICE) kepada EV.

“Ianya diharap dapat membantu pencapaian sasaran 20 peratus jualan tahunan xEVs pada 2030 seperti mana yang telah ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.

Dalam pada itu, komitmen kerajaan untuk meningkatkan tahap penerimaan rakyat untuk beralih kepada kenderaan berasaskan elektrik adalah bersifat menyeluruh.

“Manfaat mobiliti EV tidak hanya terhad kepada kereta sahaja, malah turut termasuk motosikal elektrik yang juga merupakan medium penting pengangkutan rakyat.

“MARiiCas” dilaksanakan dengan kerjasama syarikat pengeluar motosikal elektrik tempatan,” katanya.

Jelasnya, MARiiCas akan diselaraskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) selaku agensi pelaksana.

“Sesi pelancaran ini turut menyaksikan pengaktifan Platform permohonan MARiiCas oleh MARii bagi membolehkan pemohon untuk menyemak kelayakan serta memohon bagi insentif ini.

“Melalui platform ini juga, pemohon boleh mengakses maklumat berkaitan model-model motosikal elektrik yang ditawarkan serta menyemak kelulusan permohonan,” katanya.

Katanya lagi, platform itu boleh diakses menerusi laman sesawang insentif.marii.my bermula 8 Disember ini. – MalaysiaGazette