Zairil (kiri) mendengar taklimat daripada Pathmanathan berhubung kawasan yang terjejas akibat gangguan air di Pulau Pinang bermula 10 hingga 14 Januari depan.

GEORGE TOWN – Seramai 590,000 pengguna air berdaftar di Pulau Pinang berdepan gangguan bekalan air selama empat hari bermula 10 hingga 14 Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, ia susulan bagi membolehkan kerja penggantian dua injap berdiameter 1200 milimeter (mm) pada saluran paip air terawat utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua serta paip berhampiran pagar LRA yang bocor.

Kata beliau, penggantian injap sepatunya dilakukan Disember tahun lalu namun disebabkan masalah tertentu, ia tidak dapat dilakukan sebelum PBAPP memutuskan untuk menukarkan injap itu semula pada Januari depan.

Zairil.

Jelas beliau, injap bocor itu menyebabkan Pulau Pinang mengalami kadar masalah air tidak terhasil (NRW) sebanyak 26.3 peratus setahun berdasarkan statistik 2022 selain ia turut menjadi punca operasi pengepaman air terawat di LRA.

“Dalam tempoh empat hari itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga akan melaksanakan pelbagai projek kerja air sampingan di 22 lokasi lain seluruh negeri.

“Meskipun berdepan situasi gangguan air sehingga 96 jam namun kita terpaksa lakukannya kerana penukaran injap itu dibuat selepas hampir 50 tahun,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan.

Menurut Zairil, kerja penggantian injap itu dijangka mengambil masa 24 jam dan pihaknya menjangkakan bekalan air akan pulih secara berperingkat antara 48 hingga 96 jam di kawasan yang terjejas.

Tanda merah dalam peta menunjukkan kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual bermula 10 hingga 14 Januari depan.

“Kita beri notis awal supaya pengguna dapat membuat persediaan bagaimanapun dalam masa sama mesyuarat Exco telah memutuskan untuk menghantar lori tangki air ke kawasan yang terjejas terutamanya hospital dalam tempoh gangguan tersebut.

“Selain tangki air daripada PBAPP, kita juga bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bomba serta bomba sukarela untuk bantu menghantar lori tangki air.

“Kawasan perumahan bertingkat mempunyai tangki air yang mampu bertahan 48 jam sekiranya  mereka menggunakan air secara berhemat manakala  bagi kilang dan hotel pula mereka diwajibkan mempunyai tangki air yang boleh bertahan untuk dua hari,” katanya.

Dalam masa sama, Zairil turut menasihatkan orang ramai agar menjimatkan penggunaa air dalam tempoh tersebut.

Lebih 50 kawasan di Seberang Perai dan hampir keseluruhan kawasan di bahagian pulau dijadual mengalami gangguan bekalan air termasuk George Town, Pulau Tikus, Jelutong, Gelugor, Bukit Jambul, Relau, Bayan Lepas termasuk lapangan terbang, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Kumbar, Teluk Tempoyak, Pulau Jerejak dan Pulau Betong.

Bagaimanapun, bagi kawasan Air Itam, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang tidak terjejas susulan kawasan ini mendapat bekalan air daripada Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Media pada 3 Disember 2022 melaporkan, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa menangguhkan kerja-kerja penggantian injap 1200 milimeter (mm) susulan gangguan bekalan air yang turut berlaku di bahagian pulau.

“Jadual pelaksanaan kerja-kerja penggantian injap 1200 mm dan 1350mm di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua sepatutnya bermula pada jam 10 malam namun pada jam 6 pagi, PBAPP buat keputusan untuk menangguhkan operasi (penggantian injap) disebabkan masalah kekeruhan air mentah dan masalah kerosakan pada injap yang menyalurkan air dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau negeri ini.

“Sepatutnya, kerja-kerja penggantian ini tidak menyebabkan gangguan bekalan air di bahagian pulau, tetapi disebabkan salah satu bahagian pada injap (1200mm) mengalami kerosakan semasa operasi dilaksanakan, maka ganguan bekalan air telah berlaku,” katanya.

Bagaimanapun kata Kon Yeow, kerja-kerja penggantian injap 1350mm sudah siap dan bekalan air di bahagian Seberang Perai akan mula disalurkan tidak lama lagi.

“Manakala pemasangan satu lagi injap (1200mm) akan dijadualkan semula,” katanya. – MalaysiaGazette