Azalina Othman Said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Tindakan lima Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tidak dianggap mempunyai kaitan dengan unsur rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan, perbuatan itu hanya boleh dianggap  rasuah sekiranya individu yang disokong belum menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi kalau dah jadi Perdana Menteri dengan sokongan 149, lagi lima itu untuk apa?” katanya dalam episod sulung Suara Anak Madani yang disiarkan menerusi YouTube malam tadi.

Program temu bual yang dikendalikan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin itu turut disertai Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Lima Ahli Parlimen terbabit yang kesemuanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO memberitahu, lima Ahli Parlimen berkenaan menyatakan bahawa mereka ingin menyokong dasar-dasar yang membawa kepada perpaduan dan pembangunan.

“Tetapi tertakluk kepada parti mereka untuk mengambil tindakan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau mengakui undang-undang di negara ini agak ketinggalan zaman untuk menangani isu-isu perundangan melibatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin canggih.

Azalina memberitahu, semakan semula perlu dilakukan terhadap undang-undang negara namun proses itu mengambil masa yang agak lama.

“Cara yang terbaik adalah dengan melakukan kawalan kendiri,” jelasnya.

Menurut beliau, setiap pengguna seharusnya bertanggungjawab menyemak kesahihan maklumat yang diterima dan bukan menularkan perkara yang mungkin palsu. – MalaysiaGazette