Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pahang sudah memberikan sebanyak 742,387 hak milik tanah negeri sudah kepada pemohonnya dan jumlah itu dijangka akan meningkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyasarkan peningkatan hak milik tanah negeri sekurang-kurangnya satu juta dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

”Bagi memastikan rakyat di Pahang memilki tanah, kerajaan telah melaksanakan inisiatif menerusi  Skim Tanah Rakyat (STR) pemberian Suratan Hak Milik kepada peneroka Felda.

“Semenjak saya dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada Mei 2018 sehinggalah ke hari ini, sebanyak 69,451 pemberimilikan tanah telah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ucapan pergulungan Belanjawan Pahang 2024 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy memaklumkan, sebanyak RM258.753 juta berjaya dikutip melalui  inisiatif penganjuran Karnival Tanah Pahang di 11 daerah, bermula bulan Julai sehingga Oktober lalu.

Jelasnya, karnival itu mampu mendidik pemilik tanah untuk lebih bertanggungjawab menunaikan kewajipan masing-masing dengan membayar cukai tanah sebelum 31 Mei setiap tahun.

Sebagai rekod, pecahan pemilikan tanah di daerah di Pahang iaitu Pekan sebanyak 3,311, Kuantan (14,006) Raub ( 2,323), Bentong (2,743),  Cameron Highlands pula sebanyak 168 dan Jerantut (5,225).

Bagi daerah Maran, sebanyak 4,018 hak milik tanah, Rompin (4,985), Bera ( 1,352) manakala Temerloh (8,511) dan sebanyak 4,994 pula di Lipis.

Sementara itu, kerajaan negeri menyasarkan untuk menyiapkan rumah mampu milik berjumlah 4,342 unit melibatkan semua program perumahan bagi tahun 2024 nanti. – MalaysiaGazette