bot fiber yang dipandu lelaki warga China di perairan Pulau Carey secara tidak sah ditahan Maritim malam tadi.

KUALA LUMPUR – Sebuah bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di perairan Pulau Carey, Pelabuhan Klang, Selangor malam tadi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad
Salleh berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot fiber itu dikendalikan seorang warga China berumur 45 tahun dan beliau disyaki menuju ke Perairan Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, tiada sebarang lesen bot yang dikemukakan manakala suspek juga telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Abdul Muhaimin, bot fiber yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu ditahan sejurus mendapat maklumat daripada MaritimeRescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru di kedudukan kira-kira tiga batu nautika barat daya Tanjung Rhu, Pulau Carey.
Tambah beliau, tiang layar patah pada bot yang mengalami kerosakan itu didapati patah mengebabkan pengendalinya memohon bantuan Maritim Malaysia.
Abdul Muhaimin berkata, suspek dan bot itu dibawa ke jeti Marina, Pulau Indah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette