KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil menyatakan tidak akan merayu kepada pimpinan tertinggi parti susulan pemecatannya.
Menurutnya, tidak guna untuk beliau berbuat demikian kerana keputusan pemecatan itu telah dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa melalui Lembaga Disiplin.
“Seseorang beritahu saya tentang rayuan. Respon saya adalah, tiada guna saya merayu kerana keputusan telah dibuat oleh Presiden UMNO tanpa melalui Lembaga Disiplin,” katanya menerusi hantaran di aplikasi WhatsApp hari ini.
Isham mengaku telah menerima surat pemecatannya itu lewat malam semalam.
Katanya, ada yang bertanya, apakah langkah seterusnya akan diambil dan beliau akan meneruskan usaha ke arah penyatuan orang-orang Melayu di negara ini.
Tambah beliau, ada juga yang bertanya adakah beliau akan menyertai mana-mana parti politik namun beliau memberitahu masih terlalu awal untuk memikirkan perkara itu.
“Saya telah menetapkan objektif iaitu untuk menyatukan orang Melayu di negara ini dan saya akan memikirkan bagaimana untuk mencapai objektif dan matlamat itu,” ujarnya.
Pada 6 Disember lalu, mesyuarat MKT UMNO mengambil keputusan memecat Isham serta merta ketika beliau tidak hadir dalam mesyuarat itu.
Keputusan itu dipercayai mengenai tindakanya yang lantang mengkritik kepimpinan parti MT UMNO terutama berkaitan keputusan bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan dan selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilih Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini.
Keputusan PRK itu menimbulkan polemik UMNO yang menyifatkan penolakan orang Melayu terhadap parti berkenaan.
Ahmad Zahid sebelum ini mencabar Isham hadir mesyuarat malam itu tetapi Isham bertegas tidak akan hadir sebagai tanda protes terhadap kepimpinan UMNO. – MalaysiaGazette