Pemain Terengganu FC, Ivan Mamut diasak pemain JDT pada Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu Fc di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 08 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pengendali Johor Darul Ta’azim (JDT) FC menghadiahkan kemenangan Piala Malaysia 2023  kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Solari Esteban Adres berkata, keadaan padang agak buruk tidak menjadi masalah untuk pemain beraksi dengan baik untuk menjulang Piala Malaysia buat kali keempat malam tadi.

“Kami sangat gembira dapat menjuarai Piala Malaysia untuk kali keempat. Walaupun padang buruk tetapi ia tidak menjadi alasan untuk kedua-dua pasukan beraksi dan pemain saya menunjukkan keberanian dan menjaringkan gol penting yang diperlukan untuk menjulang piala.

“Terengganu sejak awal musim ini mempamerkan aksi berbisa dan mengharungi banyak pembaharuan dari segi pemain dan corak permainan mereka yang menguji kami dalam perlawanan malam tadi.

“Sejak awal saingan kuat telah memberi cabaran kepada kami, tetapi kami terus mencuba sehingga menghasilkan peluang dan menjaringkan gol penting yang diperlukan pasukan dalam perlawanan akhir itu,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Dalam perlawanan penting itu, skuad Southern Tigers yang turun sebagai pilihan juara berjaya mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada musim lalu kali ini dengan menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi akhir di Stadium Nasional  Bukit Jalil malam tadi di hadapan 80,550 penyokong kedua-dua pasukan itu.

Malah kata Solari, pihaknya menghadiahkan kemenangan piala berprestij itu kepada TMJ yang menjadi penyumbang utama dalam membangunkan pasukan itu ke arah kegemilangan dalam sukan bola sepak tanah air.

“Beliau bukan sahaja membangunkan skuad JDT FC sebagai skuad yang disegani dan berjaya dalam domestik dan menyerlah di rantau Asia, pada masa yang sama beliau bersungguh mahu membangunkan liga bola sepak tempatan.

“Pertama, TMJ datang memujuk saya menjadi pengendali pasukan ini dengan pelan projek skuad dan segala fasiliti sukan di kelab ini dan saya bersyukur kerana diberi peluang mengendalikan projek skuad JDT dan juga pemain yang mempunyai mentaliti bergelar juara setiap masa,” akuinya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berkata, walaupun agak pahit untuk menerima kekalahan itu dalam musim pertama pengendaliannya, pujian tetap harus diberi kepada pasukannya yang berani berjuang selama 90 minit perlawanan.

Bbeliau memuji semangat skuad yang berjaya mengekalkan rentak permainan dengan keputusan seri 1-1 sehingga minit ke-70 menentang JDT.

“Syabas kepada pemain saya dan juga pasukan JDT FC. Pencapaian naib juara pada musim pertama saya mengendalikan pasukan ini dianggap memuaskan.

“Apa pun, skuad ini masih mampu mengorak langkah jauh dalam banyak lagi kejuaraan kerana pasukan ini baru dan saya telah membawa masuk beberapa pemain baharu.

“Sudah pasti ia akan mengambil sedikit masa dan kita akan melihat skuad ini akan membangun secara berperingkat,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

JDT Juara Piala Malaysia 2023