KUALA LUMPUR – Beregu muda negara, Muhammad Haikal Nazri dan Choong Hon Jian terus mencipta sejarah apabila berjaya meraih satu lagi gelaran juara di India menerusi merangkul Guwahati Masters 2023.
Pada aksi final hari ini, Haikal-Hon Jian menumpaskan wakil Chinese Taipei yang berada di ranking ke-268 dunia iaitu Lin Bing-wei dan Su Ching Heng dengan mudah dalam perlawanan akhir, sebentar tadi.
Pertarungan yang berlangsung tidak sampai 40 minit itu menyaksikan Haikal-Hon Jian meraih kemenangan ke atas Lin-Su itu secara straight set 21-17 dan 23-21.
Hasil merangkul kemenangan serta diobatkan juara bagi salah satu siri kejohanan Jelajah BWF bertaraf Super 100 ini, Haikal-Hon Jian dapat membawa wang tunai sebanyak AS$7,900 atau RM36,853.50.
Pada masa yang sama, Haikal-Hon Jian turut mengutip 5,500 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan Ranking Dunia yang akan dikemaskinikan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa nanti.
Pertambahan mata itu dijangka akan melonjakkan kedudukan Haikal-Hon mendekati kelompok 50 terbaik dalam Ranking Dunia.
Sebagai tambahan, ini merupakan kejuaraaan kedua di pentas antarabangsa diperoleh Haikal-Hon Jian sejak bergandingan bersama sekitar penghujung Ogos lalu.
Minggu lalu, Haikal-Hon Jian yang menghuni ranking ke-69 dunia
menjuarai Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2023. – MalaysiaGazette