Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada hari terakhir program Setahun Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membincangkan cadangan untuk meneruskan inisiatif eBelia Rahmah awal tahun depan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, pertimbangan akan mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya bagi jaminan sedaya upaya kita untuk mengurangkan beban rakyat terutama mahasiswa, kita akan cuba bantu sebanyak mungkin.

“Tetapi kita tangguh sehingga awal tahun untuk kita kaji semula sumber pendapatan, kalau hasil bertambah insya-Allah kita boleh belanja dengan baik,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sesi dialog sempena majlis penutup Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perdana Menteri menambah, isu-isu lain melibatkan golongan muda khususnya mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti liputan wifi, menu Rahmah dan kediaman pelajar sentiasa diberi perhatian oleh menteri-menteri terbabit.

Sementara itu, Anwar menafikan beliau bersendirian dalam menghadapi segala cabaran yang dihadapi oleh pentadbirannya sejak setahun lalu.

Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan mencapai kejayaan yang mantap hasil kerjasama yang diterima daripada menteri-menteri Kabinet dan penjawat awam.

“Kalau saya bciara tentu diberi keutamaan sebab saya Perdana Menteri,” jelasnya.

Sehubungan itu, Anwar berharap agar rakyat turut menilai secara adil prestasi anggota-anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam yang sentiasa komited menyantuni segenap lapisan rakyat. – MalaysiaGazette