Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada hari terakhir program Setahun Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin ‘projek tebuk atap’ yang dirancang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan tidak akan berhasil kerana pentadbirannya mempunyai ‘bumbung’ yang kukuh.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) percaya bahawa segala percubaan terdesak oleh pihak pembangkang akan gagal.

“Sekarang bumbung kita konkrit sukar ditebuk, orang yang fikir tebuk atap mentaliti dia bumbung atap.

“Sekarang Putrajaya tidak ada bumbung atap,” katanya dalam sesi dialog sempena majlis penutup Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sesi dialog tersebut mencatatkan sejarah kerana buat kali pertama Perdana Menteri dan timbalan-timbalannya menjawab segala soalan yang diutarakan secara terus oleh rakyat secara terbuka tanpa sebarang tapisan.

Berhubung saranan agar kesemua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bergabung secara rasmi, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, format sedia ada akan dikekalkan.

Beliau menyifatkan hubungan kerjasama antara PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sangat baik.

“Dalam Jemaah Menteri, belum ada sekali pun pertelagahan atas nama perbezaan parti,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, kesemua 18 parti dalam Kerajaan Perpadua bukan sahaja berkongsi pendapat dari segi prinsip malam dalam soal pelaksanaan.

Menurut beliau, semua presiden dan wakil parti memberi dukungan penuh kepada Perdana Menteri untuk terus menerajui Kerajaan Madani.

“Malah, dalam setiap mesyuarat, sekretariat telah memberi laporan bahawa jika terdapat perbezaan pandangan di akar umbi, ia bukan pendirian parti tetapi pendapat individu,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, GPS, GRS dan parti-parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan sentiasa bersama untuk memastikan negara bergerak maju.

“Kita akan fokus untuk mentadbir kerajaan dan negara denganbaik serta memfokuskan kepada pemulihan ekonomi,” jelasnya. – MalaysiaGazette