Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed

KUALA LUMPUR – Siasatan forensik, termasuk dakwaan pembabitan pihak tertentu di sebalik serangan siber terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang giat dijalankan.

Pada masa sama, usaha pasca krisis turut meliputi pengemaskinian kelancaran operasi semua sistem Perkeso, demi memastikan kebajikan kira-kira 573,000 penerima faedah yang direkodkan di seluruh negara ketika ini sentiasa terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), kelmarin.

Katanya, perbincangan bersama tiga pihak berkuasa itu bertujuan memperhalusi langkah-langkah diambil Perkeso, mencakupi empat perkara utama dalam menghadapi serangan siber yang dikesan bermula pada sekitar jam 7 petang, Sabtu lalu.

“Empat perkara ini merangkumi pengaktifan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP); pengukuhan sistem komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) Perkeso; melakukan siasatan forensik dalaman serta pelaksanaan pelan komunikasi.

“Ketika ini, pihak berkuasa berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil Perkeso, namun tindakan susulan dan berterusan akan terus dilaksana dengan kerjasama rapat pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Selain itu, mesyuarat dengan MKN bersetuju untuk melakukan laporan polis sebaik hasil siasatan forensik dalaman mendapati ada eleman jenayah komersial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammed Azman berkata, butiran lanjut berhubung data yang didakwa dicuri dan dipaparkan di laman sesawang gelap (dark web) bagaimanapun belum boleh diperincikan kerana tertakluk kepada proses siasatan.

“Jaminan saya, siapa pun penggodam yang menjadi dalang di sebalik serangan siber ini akan diheret ke muka pengadilan kerana Perkeso tidak akan berkompromi dalam soal perlindungan data peribadi yang dijadikan kepentingan utama demi negara.

“Perkeso juga akan terus memperkukuh infrastruktur ICT dari semasa ke semasa, dengan panduan daripada NACSA, MKN dan agensi berkaitan serta amalan terbaik bagi memastikan tiada kelompongan sistem untuk dimanipulasi oleh anasir penggodam pada masa kini serta akan datang.

“Sementara itu, komitmen Perkeso ke arah menyalurkan bantuan dan faedah kepada kira-kira 573,000 penerima di seluruh negara setakat ini akan sentiasa diberi penekanan utama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast