V. Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyasarkan kadar pengangguran menurun kepada tiga peratus tahun hadapan, berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan pada tahun ini.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, kadar sasaran itu mampu dicapai dalam tempoh setahun.

“Sasaran pengurangan kepada tiga peratus tahun hadapan adalah sesuatu yang baik dalam konteks ekonomi dan kadar itu dikira mencapai guna tenaga penuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Sivakumar berkata kementeriannya melakukan usaha berterusan bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia dan siswazah dari segi penempatan pekerjaan dalam sektor profesional.

Beliau berkata, KSM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi My FutureJobs akan merancang mekanisme terbaik untuk menyediakan peluang pekerjaan lebih baik buat golongan itu pada masa akan datang.

Kementerian katanya akan turut memberi tumpuan dalam penggubalan dasar berhubung pekerja ekonomi gig meliputi perkhidmatan penghantaran makanan p-hailing dan e-hailing sebagai garis panduan, sebelum mewujudkan akta khas bagi membela nasib kumpulan itu terutamanya dari segi pendapatan serta keselamatan sosial.

Beliau berkata ketiadaan undang-undang khusus atau akta tertentu bagi menjamin nasib lebih 1.1 juta penggiat gig ekonomi di Malaysia menyebabkan mereka tidak mendapat perlindungan sepenuhnya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika ditanya mengenai keluhan anak muda terhadap kesukaran mendapatkan rumah mampu milik di ibu kota, berkata perkara itu akan diteliti sesuai dengan komitmen pihaknya untuk memastikan setiap keluarga mampu memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata usaha itu akan terus dipergiat dan setakat ini hampir 260,000 unit rumah mampu milik telah dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-12. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast