Freddie Aziz Jasbindar 35 tahun, seorang pelajar PJJ dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, telah memperkenalkan inisiatif unik untuk memberikan latih tubi matematik asas di kalangan pelajar.
Latihan ini boleh diakses melalui https://didik.pro, sebuah platform web inovatif yang menghasilkan soalan matematik dalam format PDF dengan mudah, hanya dengan satu klik.
Beliau yang juga merupakan pengasas blog orangperak.com, mengambil masa 2 tahun untuk membangunkan sistem latihan matematik percuma ini.
Platform ini memungkinkan percetakan ratusan halaman A4 berisi modul latihan matematik asas yang dilengkapi dengan skema jawapan untuk setiap soalan rawak yang dijana.
“Inisiatif percuma ini bertujuan mempermudahkan proses pembelajaran matematik bagi guru, ibu bapa dan pelajar dengan menyediakan sumber latihan yang meluas serta bervariasi,” kata Freddie.
Sistem yang diciptanya memungkinkan ibu bapa dan guru mencetak soalan matematik dengan mudah untuk diberikan sebagai latihan tambahan kepada anak-anak.
Dengan satu klik, soalan-soalan matematik akan dihasilkan secara rawak, memberikan pelajar akses kepada latihan yang konsisten.
“Harapnya sistem ini dapat meningkatkan pemahaman dan kemahiran matematik di kalangan generasi muda,” tambah Freddie.
Inisiatif Freddie Aziz Jasbindar merupakan langkah berharga dalam meningkatkan aksesibiliti kepada bahan latihan matematik berkualiti dengan kos rendah. Ia adalah contoh cemerlang bagaimana teknologi dapat digunakan untuk memperkukuhkan sistem pendidikan di negara ini. – MalaysiaGazette