Sidang media kes bunuh pasangan warga emas oleh Ketua Polis KL, Datuk Alaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Lelaki yang membunuh ibu dan bapanya di rumahnya mereka di Kampung Sungai Penchala di sini bukan sahaja mempunyai sembilan rekod jenayah dadah tetapi baru sahaja diberi jamin mahkamah pada 1 Disember lepas.

Difahamkan suspek itu telah ditahan pada 30 November lepas bawah Sesyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur sebelum diberikan jaminan sebanyak RM2,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Alaudeen Abdul Majid berkata, suspek yang sudah ditahan malam tadi juga disahkan positif tiga jenis dadah selepas menjalani ujian air kencing.

“Kita sudah tahan dan sedang menjalakan siasatan. Sehari dua ini kita akan tahu motif sehingga berlakunya pembunuhan ini.

“Kita terima maklumat orang awam berhubung pergaduhan keluarga melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 42 tahun dengan ibu bapanya jam 7 malam tadi.

“Hasil siasatan awal kita dapati kedua-dua si mati ini berbangsa Melayu. Suspek juga kita sudah tahan suspek sekali gus kes selesai dalam tempoh dua jam 40 minit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Brickfields di sini hari ini.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut.

Alaudeen berkata, pasangan warga emas itu yang berumur antara 72 dan 82 tahun ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah dengan begitu banyak kesan tikaman.

“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menemukan beberapa barang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu termasuk mata pisau, dua hulu pisau, satu helmet, satu meja kayu bulat, batang kayu, serpihan kayu serta sepasang kasut hitam dipercayai milik suspek,” tegasnya.

Allaudeen berkata, mangsa lelaki berusia 82 tahun ialah pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala isterinya yang berusia 72 tahun, seorang suri rumah.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. -MalaysiaGazette