KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mencipta sejarah apabila memiliki sebuah kemudahan makmal analisis transaksi mata wang kripto yang pertama di Asia Tenggara.
Pengarah JSJK , Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, unit itu ditubuhkan sekitar 2018 namun pada 2021 ia menerima kelengkapan untuk menubuhkan makmal untuk menganalisis transaksi berkaitan mata wang kripto.
“Setakat ini, kita sudah menjalankan analisis ke atas 532 e-wallet membabitkan nilai melebihi RM1 bilion. Analisis yang dilakukan membabitkan kes-kes dalam negara dan luar negara,” katanya pada sidang media di Tingkat 36 JSJK di sini hari ini.
Antara kejayaan besar serta penting yang pernah ditangani oleh unit ini termasuklah kes penculikan dan pembunuhan seorang rakyat Malaysia di Filipina.
Katanya, pada Oktober 2023, Pejabat Atase Polis Malawakil Manila telah menerima aduan daripada seorang rakyat Malaysia memaklumkan adik lelakinya yang bekerja di Manila diculik oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali sebelum meminta tebusan sebanyak RM330,000.
“Wang itu dibayar melalui aplikasi cryptowallet USDT. Tetapi pada hari berikutnya polis Filipina menjumpai mayat seorang lelaki di San Simon yang menyamai rupa fizikal mangsa.
“Pada 9 November lepas kita terima permohonan polis Manila untuk analisis aliran transaksi cryptowallet seorang suspek dalam kes itu dan berjaya mengesan aliran transaksi yang dipindahkan ke salah satu ‘exchange’ tidak berdaftar di Malaysia.
“Dari situ kita dapat dedahkan enam identiti suspek warga asing dipercayai dapat bantu siasatan kes penculikan dan bunuh itu,” katanya.
Selain itu, unit ini berjaya menyelesaikan kes penipuan pelaburan forex yang telah dilaporkan oleh mangsa dengan nilai kerugian RM4.7 juta.
Kata Ramli, siasatan awal mendapati laman sesawang yang mengendalikan pelaburan dipercayai beroperasi di luar negara dengan mangsa-mangsa dijanjikan pulangan modal serta keuntungan sebanyak lima peratus.
“Mangsa mendakwa mereka yakin dengan pelan pelaburan setelah berhubung dengan suspek melalui aplikasi Zoom. Mereka membayar RM437,253 hingga RM864,303 kepada sebuah aplikasi ‘Houbi’ yang merupakan aplikasi pertukaran wang kripto.
“JSJK kemudian berjaya kesan satu sindiket antarabangsa yang melakukan transaksi mencurigakan dengan nilai lebih RM1bilion. Maklumat berkaitan telah diperolehi dan tindakan susulan sedang berjalan ketika ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette