KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan melepaskan peluang untuk menjadi penggerak utama dalam industri acara perniagaan di rantau ini, bersesuaian dengan lokasinya yang strategik dan berpotensi ke arah itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, ketika ini ia sedang pesat membangun dan Malaysia harus memanfaatkan sepenuhnya peluang sedia ada.
“Dengan kepakaran yang kita miliki, kita turut disokong oleh transformasi digital dan kemajuan teknolog.
“Apa yang penting kita berada di posisi terbaik untuk melabur dan menarik minat delegasi antarabangsa yang berpotensi dalam acara perniagaan.
“Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) akan memastikan Malaysia akan terus menjadi destinasi utama untuk acara-acara perniagaan yang memberi impak positif kepada ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Sesi Suai Mesra MyCEB bersama media di Hotel Pavilion, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Azman Tambi Chik.
Roslan yang juga Pengerusi MyCEB berkata, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan pemain industri dan golongan sasar melalui sesi libat urus bagi mengenalpasti keperluan pasaran dan membantu memudahcarakan pemain industri dengan pemegang taruh.
“Dalam usahasama ini, MyCEB merumuskan dasar-dasar yang relevan, meningkatkan keterampilan, menyediakan latihan yang diperlukan dan menjadikan agensi yang mantap dalam berinteraksi dengan pemain industri.
“Diharapkan kerjasama ini dapat kita tingkatkan keupayaan dan membangunkan pemikiran golongan sasar dengan penyebaran maklumat lebih jelas, telus dengan ketetapan dan hasrat Malaysia Madani,” katanya lagi. – MalaysiaGazette