Logo KWSP

KUALA LUMPUR – Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ia susulan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II yang berkuat kuasa hari ini berikutan rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini.

KWSP dalam kenyataannya berkata, Amir Hamzah sebagai telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan KWSP, serta memberikan komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan dan inovasi sepanjang menerajui organisasi tersebut.

Antara pencapaian utama beliau termasuk memimpin KWSP melalui pelbagai kitaran ekonomi dan cabaran, dan mencapai pertumbuhan positif dalam pendapatan pelaburan secara konsisten.

Menurutnya, hala tuju strategik dan kepimpinan beliau nyata berkesan dalam mengekalkan daya tahan pelaburan dan operasi KWSP, selain memastikan KWSP menjadi tunggak kepada jaminan persaraan yang teguh untuk ahli KWSP.

“Pihak Lembaga, pengurusan dan seluruh kakitangan KWSP mengucapkan tahniah kepada
Datuk Seri Amir Hamzah atas pelantikan sebagai Menteri Kewangan II dan yakin
kepimpinan beliau akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi
negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette