KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mampu menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan 2 dengan baik tanpa diganggu oleh tekanan politik.
Beliau yang juga Menteri Kewangan secara peribadi berpandangan, kementerian berkenaan perlu dipimpin secara bersama dengannya oleh pasukan profesional bagi memastikan ia berada di landasan yang betul dan memberi tumpuan terhadap ekonomi negara.
“Bukan dipinggirkan atau dipesongkan oleh tekanan politik,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.
Jawatan tersebut diwujudkan semula bagi membantu Anwar menguruskan Kementerian Kewangan.
Amir Hamzah yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Anwar menambah, Amir Hamzah telah menunjukkan keupayaan dan kecekapan yang sangat memuaskan ketika menerajui KWSP.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap Kabinet yang baharu itu akan kekal tanpa sebarang rombakan sehingga penggal ini berakhir.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berharap mereka menunjukkan prestasi yang baik dan tidak timbul isu-isu atau tekanan baharu.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu, pelaksanaan pemotongan gaji anggota Kabinet sebanyak 20 peratus masih diteruskan.
“Melainkan Perdana Menteri, sebab tidak ada gaji,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















