Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan merasmikan Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Menara MAIWP, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bangunan baharu Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang terletak di Jalan Hussein, di tengah-tengah ibu kota mampu memberi kemudahan dan
keselesaan kepada golongan asnaf untuk berurusan dengan agensi itu.

Ini kerana, menara tersebut berada pada kedudukan yang lokasinya mudah diakses menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan monorel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, rasional pemilihan lokasi itu adalah tidak lain tidak bukan bagi menyantuni asnaf supaya dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada mereka untuk berurusan dengan MAIWP.

“Pemilihan lokasi Ibu Pejabat MAIWP ini dibuat dengan hasrat memudahkan semua pelanggan, pemegang taruh terutama memudahkan asnaf untuk hadir berurusan.

“Lokasi ini mudah diakses melalui kemudahan pengangkutan awam seperti bas, monorail dan terletak ditengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Menara MAIWP, di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bercakap kepada media selepas majlis perasmian Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Menara MAIWP, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2023.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat hadir Raja Permasisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, sebelum ini ibu pejabat MAIWP telah berpindah lokasi sebanyak tujuh kali sejak penubuhannya.

Katanya, MAIWP mula beroperasi di bangunan lama Pusat Islam, Jalan Lembah Pantai dan berakhir di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh.

Jelas beliau, bangunan Menara MAIWP yang baharu itu dibina di atas tapak tanah seluas 24,000 kaki persegi terletak bersebelahan dengan bangunan Daruzzakah yang juga milik MAIWP.

Suasana keadaan dalaman Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Lorong Haji Hussein 2, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2023

“Menara baru ibu pejabat MAIWP ini direkabentuk sebagai satu kesinambungan di antara yang baru dan yang lama.

“Menara MAIWP yang dibina dengan kos RM264 juta mempunyai keluasan lantai sebanyak 297,000 kaki persegi mengandungi 16 tingkat ruang pejabat dan lapan tingkat tempat letak kenderaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut berharap agar perpindahan operasi MAIWP ke bangunan baharu itu akan turut dapat menyuntik semangat warga kerja agensi berkenaan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast