KUANTAN – Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan segera sebanyak RM1.5 juta bagi menyelenggara Seksyen 358.0 hingga 359.0. Jalan Kuantan-Chukai.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu adalah bagi pelaksanaan kerja-kerja meninggikan jalan dan menguatkan struktur turapan jalan yang baru.
“Jalan itu berhadapan dengan situasi kerosakan iaitu mendapan dan delimination yang teruk akibat kerap berlaku banjir dan dilalui kenderaan berat lebih muatan.
“Cadangan pembaikan bagi menyelesaikan masalah ini adalah menerusi kaedah Partial Reconstruction (CIPR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang turun padang ke lokasi tersebut semalam diberikan taklimat persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini oleh Pengarah Kerja Raya Pahang, Datuk Ir. Ts. Hafizah Zakaria.
Taklimat itu antara lain memperincikan kesiapsiagaan JKR Pahang dalam menyediakan keperluan logistik dan pengangkutan bagi tujuan membaikpulih dan membersihkan lokasi banjir serta menyelaras laporan berkaitan bencana.
Dalam pada itu, beliau turut membuat tinjauan teknikal di beberapa lokasi di laluan Jalan Persekutuan termasuk di Seksyen 361.9 iaitu di Jambatan Sungai Ular, Jalan Kuantan-Chukai.
Katanya, jambatan yang didapati menghadapi kerosakan sendi yang renggang itu telah ditampal dengan segera menerusi peruntukan Notification Of Emergency (NOE) dengan jumlah RM71,000.
“Selain itu juga, JKR Pahang telah memohon peruntukan naik taraf jambatan ini di bawah Program Menggantikan Jambatan Uzur, Sempit dan Tujuan Peningkatan Had Berat Muatan Di Laluan Utama Jalan Persekutuan,” tambah Alexander.
Katanya, usaha ini juga dapat membantu menyuraikan masalah kesesakan trafik di laluan ini yang kerap menjadi rungutan pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette















