Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dapat memperkasakan lagi Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, senarai penambahan lima menteri baru pada pengumuman pagi bukan bertujuan untuk mengisi kekosongan sahaja.

“Perlantikan muka baharu yang berwibawa, pengwujudan kementerian baharu, penyusunan semula bidang tugas di kementerian sedia ada dan pertukaran portfolio diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang telah disusun rapi oleh kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat.

“Dalam membuat pertimbangan penyusunan semula Kabinet kepentingan negara dan politik yang stabil tentunya menjadi keutamaan Perdana Menteri.

“Ini amat penting kerana untuk kita mengerakkan dan memperkukuhkan ekonomi, asas utama adalah kedatangan pelabur serta politik yang stabil,” katanya dalam kenyataan.

Fadillah turut bertukar portfolio baharu iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak.

Beliau yang kini mengerjakan umrah memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) dan dua penggal di Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelumnya.

Sementara itu, Fadillah berterima kasih kepada Anwar kerana mengekalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang beliau.

Beliau percaya Anwar telah membuat penelitian, kesesuaian pada setiap menteri dan portfolio yang diamanahkan bersandarkan kepada pengetahuan serta kemahiran masing-masing.

“Bagi Hal Ehwal Sabah Sarawak keutamaan akan saya berikan kepada meneruskan usaha menyelesaikan segera isu-isu tertunggak dan meletakkan MA63 ditempat sepatutnya, sekali gus merapatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung.

“Kepada semua peringkat dari pengurusan tertinggi, pegawai dan warga kerja KPK saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama terbaik dan komitmen penuh yang diberikan sepanjang saya menerajui KPK,” ujarnya. – MalaysiaGazette