Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membuat lawatan ke Tapak IPR-INTAN Ulu Kinta, Ipoh yang dikelolakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan penanaman cili dan terung fertigasi. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 DISEMBER 2023.

IPOH – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menyifatkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan sebahagian besar barisan Jemaah Menteri, sebagai bukti anggota Kabinet sedia ada mempunyai nilai tambah terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, namun tugas sebagai seorang menteri disifatkan sebagai satu amanah yang perlu digalas selain memberi perkhidmatan demi kehendak negara.

Beliau turut berpandangan, disebalik sebagai satu keistimewaan, ia juga disifatkan sebagai satu beban yang harus ditanggung oleh seorang menteri.

“Tugas menteri macam saya ialah kita tumpukan kerja sebaik mungkin yang mana sekiranya dikekalkan alhamdulillah.

“Ini bermakna perancangan yang kami (Jemaah Menteri) lakukan selama ini ada nilai tambah.,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani Wilayah Ekonomi Koridor Utara (IPR – INTAN NCER) di Hospital Bahagia Ulu Kinta, dekat sini, pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan.

Dalam pada itu Rafizi berkata, walau apa juga keadaan beliau sentiasa akan mengambil pendekatan positif sekiranya ditukarkan kepada portfolio atau kementerian lain.

“Contohnya jika saya diminta untuk buat tugasan lain, maksudnya saya selalunya akan memilih untuk memandang ia sebagai sesuatu yang positif. Saya dilihat ada nilai tambah di tempat lain.

“Kepada semua ahli politik yang dilantik ini pada pandangan saya, perlu mempunyai sikap itu (positif) kerana kita berkhidmat demi kebaikan dan kesenangan negara.

“Kita pulangkan keputusan itu kepada mereka yang diberi amanah untuk buat keputusan itu,” ujarnya.

Pagi tadi, Anwar mengumumkan Rombakan Kabinet yang menyaksikan anggota Jemaah Menteri baharu dan pertukaran jawatan menteri serta timbalan menteri.

Rafizi antara menteri yang dikekalkan portfolio dengan menyaksikan beliau terus menerajui Kementerian Ekonomi selepas setahun mengangkat sumpah jawatan.

Rombakan Kabinet itu turut menyaksikan seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan iaitu bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar selain Ramkarpal Singh (bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi)) dan Datuk Siti Aminah Aching (bekas Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi).

Secara keseluruhan, jumlah Jemaah Menteri kini meningkat daripada 28 ke 31 orang manakala, jumlah timbalan menteri pula meningkat dari 27 ke 29 orang.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan Jemaah Menteri ini masih lagi rendah jika dibandingkan 70 orang barisan Kabinet pada pentadbiran sebelum ini. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

10 menteri, timbalan menteri baharu Kerajaan Perpaduan