Serbuan di sebuah unit kediaman yang didiami warga Pakistan turut membawa kepada penemuan beberapa peralatan elektronik termasuk komputer riba, mesin lamina, mesin pencetak, sebanyak 246 kad plastik keras yang belum bercetak, tiga pasport sedang diubah suai dan lima i-Kad Imigresen siap dicetak.

BAYAN LEPAS – Jabatan Imigresen Pulau Pinang hari ini membongkar kegiatan warga Pakistan yang memproses dan mengeluarkan i-Kad Imigresen, Kad Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta lesen memandu antarabangsa.

Ia hasil serbuan di sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru di sini hari ini.

Serbuan pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan susulan aduan orang ramai yang bimbang dengan warga asing yang sering berkeliaran di kawasan penempatan mereka sehingga menimbulkan kebimbangan.

Pengarahnya, Shah Inor Shahbudin berkata, operasi dijalankan terhadap 11 unit rumah dan seramai 33 individu diperiksa.

Daripada jumlah itu, seramai lima warga asing berusia 30 hingga 50 tahun yang terdiri daripada masing-masing satu wanita dan lelaki warga Myanmar serta tiga lelaki warga Pakistan ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Selain itu, serbuan di sebuah unit kediaman yang didiami warga Pakistan turut membawa kepada penemuan beberapa peralatan elektronik termasuk komputer riba, mesin lamina, mesin pencetak, sebanyak 246 kad plastik keras yang belum bercetak, tiga pasport sedang diubah suai dan lima i-Kad Imigresen siap dicetak.

“Kita juga menemui tiga kad CIDB dan lima lesen memandu antarabangsa Pakistan yang siap dicetak di dalam bilik utama rumah berkenaan.

“Turut ditemui peralatan pengubahsuaian pasport, pemacu cakera keras serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shah Inor, dengan penemuan barang-barang tersebut pihaknya tidak menolak kemungkinan warga asing itu melakukan kegiatan memproses kad berkaitan palsu.

Selain dari kesalahan memalsukan dokumen antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Juru, Pulau Pinang bagi siasatan dan tindakan lanjut.

“Operasi penguatkuasaan sebegini akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara,” katanya. – MalaysiaGazette