PETALING JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dijangka digerakkan ke sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini bagi membantu siastan pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Menurut sumber MalaysiaGazette, pihak bomba akan melakukan kerja-kerja menyedut air dari takungan di aliran sungai kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman.
Kehadiran pihak bomba merupakan kali pertama sejak operasi besar-besaran menjejaki pembunuh Zayn Rayyan itu dimulakan sejak Rabu lepas dan kini memasuki hari kelapan usaha itu diteruskan.
Sebelum ini, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran air berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam pada Rabu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.
Mangsa ditemukan terbaring di tepi aliran air terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman Zayn Rayyan di di Blok R Apartmen Idaman.
Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.
Sementara itu, sepanjang pihak bomba melakukan siasatan di lokasi kejadian, petugas media tidak akan dibenarkan mendekati dan memasuki Blok R, Apartmen Idaman bagi mengelakkan gangguan kepada pihak berkuasa.
Tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 9 pagi tadi mendapati, dua jentera JBPM kelihatan berada berdekatan dengan Apartmen Idaman, namun kerja-kerja penyedutan air masih belum dilakukan. – MalaysiaGazette