SEREMBAN – Polis menerima laporan berhubung kejadian penderaan kanak-kanak lelaki berusia setahun di Sikamat, seperti yang tular di media sosial, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Supt Mohd Rosli Ishak.
Beliau berkata, pihaknya telah mengesan satu kenyataan tular di aplikasi Instagram oleh pemilik akaun @faradelyn.aris, yang mendakwa anaknya didera oleh pengasuh.
“Semakan pihak polis mendapati satu laporan polis diterima pada 7 Disember lepas berkaitan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Rosli berkatam orang ramai diingatkan tidak terlibat dalam apa-apa bentuk penganiayaan atau pengabaian ke atas kanak-kanak.
Dalam pada itu, pemilik akaun Instagram @faradelyn.aris mendakwa ketika sedang menukar lampin, suaminya melihat banyak kesan lebam di belakang badan anaknya itu pada 5 Disember.
Menurut ibu mangsa itu, mereka menghantar anaknya itu kepada pengasuh tersebut baharu tiga bulan dan selama tempoh tersebut, dia mendapati terdapat kesan lebam pada badan anak tetapi tidak dimaklumkan oleh pengasuh berkenaan. – Bernama