Abdul Aziz Abdul Rahman (tengah depan) bergambar bersama pemberi zakat perniagaan semasa Majlis Zakat Korporat 2023 di Kuala Lumpur. Foto: NUR SYADILA AMARI 13 DISEMBER 2023

 

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan sebanyak RM16.18 juta daripada 21 buah syarikat.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kutipan zakat berkenaan memberikan naratif jelas mengenai kepercayaan masyarakat Islam kepada pusat pungutan berkenaan.

“Syabas saya ucapkan kepada semua syarikat korporat yang menunaikan tanggungjawab berzakat ke atas perniagaan mereka. Syarikat yang mampu menunaikan zakat perniagaan mereka ini sesungguhnya adalah manifestasi daripada kejayaan barusan pengurusan dalam menguruskan perjalanan perniagaan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Zakat Korporat 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini,

Antara 21 buah syarikat, Amanah Raya Berhad menyumbang zakat paling banyak iaitu RM3 juta diikuti dengan Mr Bentong World Trading RM2 juta dan Harta Maintenance Sdn Bhd, RMRM1.3 juta.

Menjelang hujung tahun 2023, PPZ- MAIWP mengajak seluruh masyarakat Islam untuk segera menunaikan zakat selewat-lewatnya pada 31 Disember ini bagi mendapat manfaat 100 peratus rebat cukai pendapatan.

“Untuk makluman PPZ-MAIWP  juga sedang mengadakan Kempen Year End Zakat 2023 bermula 18 November hingga 31 Disember tahun ini.

“Pembayar yang menunaikan zakat dalam tempoh ini berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti pakej umrah, Thermomix, vakum Dyson, telefon pintar dan banyak lagi,” tambah beliau.

Sementara itu, Mr Bentong World Trading berkata, tahun ini merupakan tahun pertama ia menyumbang zakat korporat.

Pengurusnya, Hafiz Oon Jun Seong berkata,  kesedaran membayar zakat timbul apabila beliau menerima penjelasan daripada pegawai zakat yang datang kepadanya.

Katanya lagi, sebagai umat Islam sudah tentu membantu golongan asnaf menjadi perkara yang diutamakan.

“Saya nak kongsi rezeki dan pastikan harta saya berkat. Jadi saya galakkan usahawan lain untuk tunai zakat korporat supaya perniagaan kita diberkati harta diberkati dan dapat manfaat kepada orang ramai,” jelasnya.-MalaysiaGazette