PUTRAJAYA – Menteri Sumber Manusia yang baharu, Steven Sim menyifatkan pelantikannya ke jawatan itu sebagai kesinambungan dasar dalam Kerajaan Perpaduan.
Bekas Timbalan Menteri Kewangan 2 itu berkata, ini kerana ia merupakan peralihan kuasa dalam kerajaan sama dan apa yang perlu hanya penambahbaikan sahaja.
“Tapi saya hendak tekankan bahawa ini merupakan peralihan dalam kerajaan yang sama.
“Justeru kita menekankan kepada kesinambungan kerana kita melihat kepada apa-apa yang telah dilakukan.
“Kalau perlu tambah baik akan buat dan fokus utama saya pada masa ini ialah untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia tidak kira kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas tiba untuk memulakan tugas rasmi di kementeriannya di sini hari ini.
Sebelum itu beliau menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir timbalan baharunya, Datuk Abdul Rahman Mohamad.
Semalam, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan pertukaran beberapa portfolio dan lantikan menteri serta timbalan menteri baharu.
Kementerian Sumber Manusia kini diterajui Steven yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia juga turut disandang muka baharu di mana Abdul Rahman sebelum ini sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.
Mengulas lanjut, Steven memberi komitmen untuk terus memperjuangkan hak pekerja di mana pada masa sama nasib majikan juga tidak diabaikan.
“Bila saya kata begitu kerana saya juga tekankan bahawa nasib majikan dan pekerja terikat sama.
“Kita tidak boleh antigonis antara satu sama lain kerana kalau nasib pekerja tidak dibela maka dia akan beri kesan kepada syarikat dan perniagaan,” katanya. – MalaysiaGazette