Anggota polis melakukan pemeriksaan rumah ke rumah dan mengambil ujian DNA penduduk setempat berikuta kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan di Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor.. Foto NUR SYADILA AMARI, 09 DISEMBER 2023.

PETALING JAYA – Tiga individu dipercayai penagih dadah ditahan selepas polis menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) beramai-ramai di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka yang ditahan itu merupakan penduduk kawasan terbabit dan didapati positif dadah.

Bagaimanapun beliau berkata, kesemua individu itu tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin

“Kebetulan ketika kami melakukan saringan DNA itu, mereka positif dadah, jadi kita tahan mereka selepas jalani ujian air kencing untuk tindakan lanjut.

“Mereka tiada kaitan dengan siasatan ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, media melaporkan Hussien mengesahkan keputusan ujian DNA secara beramai-ramai penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai di sini dijangka diperoleh dalam tempoh dua sehingga tiga hari.

Ujian itu dijalankan hanya melibatkan penduduk perumahan terbabit bagi menjejaki pembunuh kanak-kanak istimewa itu.

Ahad lalu, seramai 228 individu telah diambil sampel DNA dalam pemeriksaan unit rumah dan premis perniagaan kawasan berkenaan.

Saringan DNA dijalankan melibatkan 18 blok yang menempatkan 2,484 unit rumah. – MalaysiaGazette