KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang masih menunggu maklum balas daripada pencipta anime, Gege Akutami, bagi mendapat kebenaran untuk membantu mempromosikan pelancongan di negeri ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, kerajaan negeri melalui Tourism Malaysia Tokyo yang diwakili Timbalan Pengarahnya, Ahmad Junaidy Yahaya dan Presiden Alumni Program Persahabatan Asean-Jepun abad ke-21 (Pemaja), Datuk Sahariman Hamdan telah menyampaikan hasrat itu pada Isnin lalu.
Selain itu, perbincangan turut mencadangkan pencipta watak Kento Nanami dalam siri anime ‘Jujutsu Kaisen’ membina tugu peringatan watak tersebut di sini.
“Pihak penerbit siri anime perlukan masa seminggu untuk berhubung dengan pencipta yang dikenali Gege Akutami sebelum memberikan persetujuan.
“Kami juga dimaklumkan bahawa pencipta itu jarang muncul di khalayak ramai dan hanya penerbit boleh menghubunginya.
“Jadi, kita perlu kebenaran daripada pencipta kerana ini watak Kento Nanami adalah hak cipta beliau. Kita kena hormati hak cipta dan kita perlukan endorsement daripadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Pemandu Bot pelancong dan Malim Gunung 2023 daerah Kuantan di pejabat Tourism Pahang, sini, hari ini.
Terdahulu nama Kuantan trending di media sosial selepas disebut dalam sebuah anime Jepun popular, Jujutsu Kaisen.
Dalam episod ke-42 itu, watak dalam anime tersebut, Kento Nanami menyebut dia ingin melawat pantai di Kuantan sebelum kematiannya.
Ia sekaligus menarik perhatian Yu Man pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 6 Disember lalu tentang cadangan menghubungi penulis siri anime tersebut untuk mempromosikan pantai di Kuantan. – MalaysiaGazette