Antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 457.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan di Sungai Buloh, di sini, semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan di Kilometer 457.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan di Sungai Buloh, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, M Hussin Solehuddin Zolkifly berkata, dalam kejadian jam 9.50 malam itu kereta jenis Nissan Almera telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar beberapa kenderaan lain.

“Ketika kejadian, kereta terbabas itu dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun .

“Dalam masa yang sama, sebuah treler jenis Mercedes Benz cuba mengelak kemalangan tersebut menyebabkan ia dirempuh dari arah belakang oleh sebuah treler jenis Volvo,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut M Hussin, pemandu treler Mercedes Benz yang dilanggar disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit pada kenderaannya.

Katanya, kesemua yang cedera telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan dan mangsa yang maut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.

Tambah beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette