Foto: Sabah Football Club

KOTA KINABALU – Sabah FC tewas di laman sendiri di Stadium Likas, di sini, pada perlawanan terakhir kumpulan H Piala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), kepada PSM Makassar dengan jaringan 1-3 malam ini.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak mengubah kedudukan Sabah di tahta kumpulan H dengan meraih 12 mata hasil empat kemenangan serta tewas dua kali, dan pasukan Sang Badak itu juga sebelum ini telahpun mengesahkan tempat ke separuh akhir zon ASEAN.

PSM Makassar bermula garang apabila di hadapan pada minit ke-15, selepas pemain tengahnya Yakob Sayuri membuat rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol berpengalaman Khairul Fahmi Che Mat.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee kemudian cuba untuk membuat asakan demi asakan namun gagal menghasilkan gol, sehinggalah PSM Makasar dihadiahkan satu lagi gol, apabila tendangan penyerangnya tertampan pemain pertahanan Sabah Dominic Tan, menjadikan kedudukan 0-2 pada minit ke-35.

Sabah cuba bangkit pada babak kedua dan asakan pasukan itu membuahkan hasil, apabila pemain import Telmo Castanheira berjaya merapatkan jurang pada minit ke-72, hasil tandukan di kawasan kotak penalti, menjadikan kedudukan 1-2.

Bagaimanapun, penyokong tuan rumah pulang hampa apabila pengadil Ammar Abrahim Hasan Mahfoodh menghadiahkan sepakan penalti pada minit kelima masa tambahan kepada PSM Makassar, setelah Rizal Ghazali mengasari pemain lawan di dalam kotak penalti.

Everton Nascimemto tenang menyempurnakan sepakan penalti itu, mengesahkan kemenangan ketiga dalam saingan itu buat PSM Makassar yang berada di tangga ketiga kumpulan. – Bernama