PETALING JAYA – Polis berjaya mengesan dua saksi kanak-kanak yang telah melihat kali terakhir melihat Zayn Rayyan Abdul Matiin di perumahan Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini ebelum dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penemuan terbaharu itu diperoleh anggota forensik Kontinjen Selangor menerusi hasil proses saringan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) beramai-ramai yang dijalankan oleh polis bagi mengesan suspek yang membunuh kanak-kanak austisme yang berusia enam tahun itu.
“Hasil mass screening (ujian saringan beramai-ramai) yang dilaksanakan ke atas penduduk perumahan apartmen itu kita berjaya mengesan dua saksi kanak-kanak yang telah nampak mangsa di Tingkat 2 dan 3 Blok R pada petang 5 Disember lalu (sebelum hilang),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Justeru Hussein berkata, setakat ini, polis juga sudah selesai merakam keterangan daripada seramai 86 saksi.
Tambah beliau, masih lagi terdapat proses keterangan yang perlu dirakam polis daripada saksi-saksi lain bagi membantu siasatan yang sama.
“Selain itu, kita juga berjaya memperolehi tambahan 10 lagi sampel DNA penduduk sekaligus jumlah keseluruhan sampel yang berjaya dikumpul adalah 238 sampel,” tegasnya.
Semalam, Hussein juga mengesahkan pasukan forensik berjaya menemui sehelai stokin daripada kolam takungan air berhampiran anak sungai mayat kanak-kanak malang itu ditemui pada 10 malam 6 Disember lalu.
Bagaimanapun polis masih perlu menganalisa bahan bukti baharu itu bagi menentukan sama ada ia adalah milik mangsa atau sebaliknya.
Memasuki hari kelapan siasatan, pasukan forensik masih meneruskan pemeriksaan rumah ke rumah di Apartmen Idaman khususnya tertumpu di Blok R – lokasi terakhir kanak-kanak itu dilihat sebelum dilaporkan hilang.
Polis sedang menyiasat kematian Zayn sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati kepada pesalahnya. – MalaysiaGazette