Kesukaran yang dihadapi oleh penduduk Gaza

GAZA CITY – Suhu dingin berikutan kedatangan musim sejuk menambahkan kesengsaraan penduduk Gaza untuk melarikan diri daripada pengeboman tentera penceroboh Israel.

Di beberapa bahagian wilayah Palestin itu dilaporkan mengalami hujan berterusan dan mengakibatkan banjir berikutan air tidak dapat mengalir akibat runtuhan bangunan dan infrastruktur yang rosak kerana dibom.

Penduduk Palestin dilihat melarikan diri dari Kem Pelarian Jabalia di tengah-tengah hujan lebat berikutan serangan Israel tanpa henti yang menyasarkan tempat perlindungan mereka di utara Gaza.

Dalam video eksklusif pasukan Al Jazeera di Gaza yang disiarkan di media sosial, berpuluh-puluh orang termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak dilihat membawa barangan mereka sambil berjalan tanpa sebarang perlindungan daripada hujan lebat.

Beratus ribu orang yang menjadi pelarian kini bergelut untuk kekal kering di dalam khemah dan tempat perlindungan sementara lain di tengah-tengah kekurangan makanan dan air.

Tular di media sosial seorang lelaki mengangkat mayat yang dibalut dengan kain putih sambil mengharungi air banjir di tengah-tengah hujan lebat.

Turut tular seorang petugas Bulan Sabit Merah mengeluarkan seorang wanita yang cedera dari dalam sebuah ambulans yang ditengelami banjir.

Hujan musim sejuk di Gaza telah meningkatkan kebimbangan mengenai penularan penyakit di kalangan beratus ribu orang yang berpindah.

Jumlah kematian akibat serangan Israel kini melepasi angka 18,200 nyawa dengan jumlah mereka yang cedera mencecah 50,000 angka.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast