Datuk Allaudeen Abdul Majid.

PETALING JAYA – Tidak diberi wang untuk membeli dadah dikenal pasti punca seorang lelaki yang juga penagih membunuh ibu bapa dengan senjata tajam di Kampung Sungai Penchala dalam kejadian 9 Disember lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur,  Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan perkara itu berkata, suspek yang masih direman untuk membantu siasatan memiliki sembilan rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan tiga jenis dadah.

“Kini tangkapan reman suspek tempatan berusia 42 tahun ini membantu polis menyelesaikan kes bunuh ini. Setakat ini polis telah selesai mengambil keterangan seramai 12 saksi bagi membantu siasatan termasuk ahli keluarga dan jiran-jiran yang mendengar jeritan kedua pasangan warga emas itu.

“Ya, kami telah selesai rakam percakapan mereka bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Selain itu, kertas siasatan kes ini akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini untuk arahan selanjutnya iaitu cadangan menuduh suspek di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui di majlis sambutan perayaan Hari Deepavali 2023 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kejadian sekitar 8 malam itu, pasangan suami isteri berkenaan ditemui terbaring di lantai ruang tamu rumah mereka dalam keadaan berlumuran darah.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia selepas dipercayai ditikam berkali-kali oleh anak lelaki sendiri.

Suspek yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik telah lari menghilangkan diri ke dalam hutan berhampiran di Sungai Penchala.

“Bagaimanapun polis berjaya memburu dan memberkas suspek kira-kira 10.30 malam di bawah Terowong Penchala Lebuh Raya Sprint menghala ke ibu negara,” katanya. – MalaysiaGazette