LONDON – Bekas bek tengah Manchester United, Jaap Stam menyelar pemain sayap kelab itu, Antony atas persembahannya yang tidak cukup bagus untuk bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain berusia 23 tahun itu masih belum menjaringkan gol untuk United pada musim ini, dengan skuad kendalian Erik Ten Hag telah tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan Piala Carabao sebelum Krismas ini.
Antony yang menyertai United dari Ajax pada musim panas lalu sering menunjukkan tabiat mudah dijangka untuk dikekang hingga membuatkan pemain lawan secara bertubi-tubi mampu menghalang percubaan dari kaki kiri kegemarannya.
United yang kalah 0 – 1 kepada Bayern Munich di Old Trafford awal minggu ini akan berdepan Liverpool pada Isnin depan dengan kapten pasukan Bruno Fernandes merupakan antara pemain penting yang akan terlepas kunjungan ke Merseyside.
Dengan Antony mungkin terlibat sekali lagi di sebelah kanan kerana situasi semasa yang menyelubungi Jadon Sancho, Stam menggariskan beberapa kebenaran yang pahit untuk ditelan tentang prestasi pemain Brazil itu di bawah kendalian Ten Hag.
“Apa yang saya lihat pada Antony dengan tahap yang dimilikinya, dia tidak cukup bagus untuk bermain bersama United.
“Apabila anda melihat Antony sekarang, pada masa ini anda tidak nampak di mana dia boleh memajukan diri untuk melangkah ke tahap seterusnya dalam Liga Perdana iaitu berada di dalam kalangan pemain sayap hebat yang boleh membuat perubahan kepada pasukan.
“Di Belanda, dia melakukannya dengan baik, padahal dia bukan pun pemain terbaik di sana. Dia bagus untuk Ajax tetapi kelab itu bermain di liga yang hanya memiliki beberapa orang pemain hebat.
“Maafkan saya, secara keseluruhannya di liga itu hanya didominasi oleh pemain biasa-biasa saja,” kata bekas pemain berusia 51 tahun itu dalam podcast Stick to Football.
Staam menambah, United buat masa ini di bahagian merekrut pemain dan pihak pengurusan perlu membuat pilihan tepat untuk membawa pemain yang benar-benar boleh mencetuskan perubahan dalam EPL.
“Saya agak terkejut dengan bayaran yang dikenakan untuk menandatangani Antony,” katanya.
United menandatangani penyerang Brazil itu dengan yuran perpindahan £81 juta (RM424.30 juta) termasuk bayaran tambahan, yuran boleh mencecah £86 juta (RM450.49 juta).
Ia menjadi rekod perpindahan bagi pemain di Eredivisie dan mengatasi perpindahan Frenkie de Jong dari Ajax ke Barcelona, tiga tahun lalu.
Antony menjaringkan 31 gol dalam 134 penampilan bersama Ajax dan Sao Paulo serta dua gol dalam sembilan penampilan bersama skuad senior Brazil. – Agensi