Puad Zarkashi Facebook Syed Saddiq mahkamah
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin UMNO menyifatkan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai “bebal” apabila mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim meminda Perlembagaan Persekutuan agar jawatan perdana menteri hanya boleh disandang oleh orang Melayu.

Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan itu dilontarkan ahli Parlimen Machang itu berikutan Kerajaan Perpaduan kini mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Inilah bebalnya ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN). Dia pernah mencadangkan Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak banyak wang kertas dan diagih kepada rakyat untuk dibelanjakan.

“Kalau begitu kamu sahaja buat pengumuman iaitu Pemuda Bersatu akan meminda perlembagaan jika PN memerintah nanti. Ada berani? Menyindir tidak bertempat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam, Wan Ahmad Fayhsal dilapor mencadangkan supaya perdana menteri meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.

“Mungkin, dengan cara ini, sedikit sebanyak dapat memulihkan sokongan orang Melayu di negara ini kepada kerajaan campuran pimpinan beliau berbanding memperagakan capal, songkok, cium keris atau bertiwikrama bahasa” katanya.

Sebelum itu, isu sama ada orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri timbul susulan kenyataan ahli politik veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang kepada pelajar Malaysia di United Kingdom bulan lepas.

Kit Siang mencetuskan kontroversi melalui kenyataannya apabila menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

Kenyataan berkaitan ‘Impian Malaysia’ oleh Kit Siang itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia di sana.

Bekas Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahu pun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan ‘Impian Malaysia’.

Impian berkenaan, katanya, meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya bukan membawa satu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja.

Beliau juga mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana bukan Melayu daripada menjadi perdana menteri dan berharap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun lagi untuk melihat seorang bukan Melayu berpeluang menjadi perdana menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast